Profil Sekolah



SEJARAH SEKOLAH

Pada tahun 1942 , atas daya usaha Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hassan untuk mendirikan sebuah sekolah yang berteraskan ajaran Islam. Sehubungan dengan itu keluarga Allahyarham Tun Haji Mohd Khatib bin Haji Shahid telah mewakafkan wang sebanyak RM 10,000 untuk merealisasikan cita – cita tersebut .
Sebuah jawatankuasa pengurusan projek telah ditubuhkan pada tahun 1950 yang diberi nama‘ LUJNAH ‘ yang juga merupakan satu badan dakwah yang aktif di daerah Muar ketika itu . Badan ‘LUJNAH’ ini telah berjaya mengumpulkan wang hasil sumbangan dari orang ramai yang berjumlah RM 10,000 . Dengan modal sebanyak RM 20,000 inilah pada tahun 1963 sebuh sekolah telah didirikan di Jalan Joned Muar yang dikenali dengan nama ‘Al- Maahad Al – Dini Al – Arabi’ . Sekolah ditadbir oleh sebuah lembaga yang dianggotai oleh sekumpulan penduduk tempatan yang berpengaruh dan mempunyai cita-cita untuk mendidik anak- anak dengan pengetahuan agama Islam .
Setelah beroperasi selama tiga tahun di bawah pengembang agama Islam ‘LUJNAH’ Muar, ianya mula menghadapi pelbagai masalah terutama sekali dalam bidang kewangan . Akhirnya pada tahun 1966 , pihak LUJNAH telah bersetuju untuk menyerahkan pentadbiran sekolah ini kepada Jabatan Agama Islam Johor . Nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Maahad Muar . Sepanjang sejarahnya sekolah ini telah banyak melahirkan tokoh-tokoh agama yang berwibawa sebagai pegawai-pegawai agama dan juga guru-guru agama dalam negeri Johor. Pada tahun 1972 , pihak Jabatan Agama Islam Johor telah membina bangunan tambahan untuk Maahad Muar .
Oleh kerana tuntutan dan desakan semasa dari orang ramai yang inginkan lulusan sekolah – sekolah agama diberikan nilai ekonomi yang sewajarnya sebagaimana sekolah–sekolah akademik yang lain, akhirnya atas persetujuan semua pihak sekolah ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1977 dan diletakkan di bawah perhatian khas Bahagian Pendidikan Islam , Kementerian Pendidikan . Dengan itu bertukarlah kurikulum sekolah ini . Pelajaran akademik mula diperkenalkan di sekolah ini dengan mata pelajaran Bahasa Arab dan agama Islam Tinggi diwajibkan kepada pelajar-pelajar sekolah ini . Walau bagaimanapun , orientasi pendidikan tetap menuju ke arah pendidikan Islam di dalam penghayatan dan amalan Islam ditekankan . Nama sekolah ini lagi sekali ditukarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar .

 
VISI SEKOLAH
Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang

MISI SEKOLAH
Membangunkan Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti 


OBJEKTIF SEKOLAH
Melahirkan pelajar-pelajar yang berpendidikan dan berakhlak mulia mengikut nilai-nilai Islam dan bertanggungjawab kepada ALLAH, masyarakat, bangsa dan negara 








MATLAMAT SEKOLAH
  • Membina sahsiah pelajar yang mulia selaras dengan Islam, mempunyai ketahanan untuk menghadapi cabaran zaman yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
  • Membina pelajar yang berkualiti dan mempunyai semangat yang kuat untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
  • Membina kesedaran kepada pelajar-pelajar bahawa menuntut ilmu itu adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat. Ilmu adalah harta yang tidak ternilai dan ia merupakan kekayaan yang mesti digarap dari semasa ke semasa.
  • Membina golongan pelajar yang peka terhadap perubahan yang berlaku di sekeliling mereka dan mereka akan tertinggal sekiranya bersikap beku, acuh tak acuh terhadap perubahan yang berlaku.
  • Membina golongan pelajar yang menyedari hakikat masyarakat majmuk di Malaysia memerlukan perpaduan, bertolak ansur, bekerjasama, percaya mempercayai dan sebagainya yang sesuai dengan nilai-nilai Islam dan mengikut batas-batas yang ditentukan oleh Islam.
  • Membina golongan pelajar yang mempunyai pengetahuan sesuai dengan penggunaan sains dan teknologi.
  • Membina golongan pelajar yang mampu mempertingkatkan mutu pengajaran Islam dan Bahasa Arab untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri.
FALSAFAH SEKOLAH



  • Mendidik generasi pelajar menjadi manusia yang beriman kepada Allah sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri dijadikan oleh Allah sebagai satu tanggungjawab “makhluk” kepada “Khalik”.

  • Mendidik generasi pelajar yang berilmu yang sentiasa cintakan ilmu “Fardu Ain” dan ilmu “Fardu Kifayah” yang menjadi tuntutan ummah. Dengan ilmu itu manusia sentiasa kreatif berupaya menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

  • Mendidik generasi pelajar menjadi manusia yang beramal dengan ilmu yang didapati untuk memakmurkan bumi ini sesuai dengan tuntutan agama yang mengkehendaki hambanya menjadi “Khalifah” di bumi ini. Ilmu hanya akan bernilai sekiranya diamalkan untuk faedah manusia sejagat.